Sarjana Melayu Menjawab dgn Ilmiah ...Kita Patut mengkajinya..MELAYU ITU
Kami membaca makalah sdr Uthaya Sankar SB, seorang penulis muda terkenal negara bertajuk Kisah Tentang Malayu yang disiarkan di The Malay Mail Online dengan penuh minat. Ia tulisan yang ringkas dan mudah difahami, dan dalam masa yang sama mampu menarik minat pembaca untuk mendalami lagi sejarah orang Melayu.
Namun, kami mengesan beberapa kesalahan fakta dan analisis berkenaan persejarahan dalam makalah tersebut. Dalam makalah ini, kami akan menunjukkan dan membetulkan satu persatu kesilapan Uthaya dalam memahami subjek yang diperkatakan tersebut, seperti yang diperjelas oleh para sarjana dalam bidang ini.
Uthaya memulakan makalahnya dengan meneliti asal-usul istilah melayu yang berasal daripada malaiur, iaitu perkataan Sanskrit bermaksud “tempat berbukit-bukau”. Kami cenderung untuk berpegang pada pendapat bahawa bentuk asal perkataan melayu, iaitu malaya, ialah terjemahan Sanskrit kepada perkataan bnom, pnom, atau phnom yang sudah berubah bentuknya kepada gunung dalam bahasa Melayu zaman kemudiannya. Perkataan pnom ini ditransliterasikan oleh sejarawan Chin dahulu sebagai fou-nan (Shaharir Mohamad Zain, 2008; m/s 3). Funan, ialah kerajaan Melayu tertua yang diketahui wujud setakat ini, yang pusat pentadbirannya terletak di Kemboja mengikut sempadan politik pada zaman moden. Funan sudah tertubuh sekurang-kurangnya sejak tahun 1 Masihi.
Persoalan asal usul raja Melayu
Uthaya menjelaskan kepada kita bahawa menurut kitab Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), raja-raja Melayu berasal dari Raja Suran (Chulan). Maka, menurut beliau, hal ini membuktikan bahawa raja Melayu berketurunan India.
Kami tidak bersetuju dengan pandangan ini kerana teks Sulalatus Salatin itu sendiri wajar dibaca secara keseluruhan, bukan ditebuk sahaja. Sulalatus Salatin sebenarnya memerikan cerita mengenai asal-usul raja Melayu yang dikatakan berasal daripada keturunan Iskandar Zulkarnain (terdapat banyak pandangan mengenai identiti sosok ini, namun dalam kes Sulalatus Salatin, ia merujuk kepada Alexander The Great dari Macedonia). Dalam teks klasik tersebut, diceritakan bahawa ketika Iskandar Zulkarnain menakluk India, baginda mengahwini seorang puteri Raja Kida Hindi yang bernama Puteri Syahrul Bariyah. Daripada keturunan inilah yang kemudiannya lahir Raja Suran yang turun ke dasar laut di dalam ‘bekas kaca’, yang Uthaya nyatakan itu.
Kisah ini tidak dapat dibuktikan kesahihannya, sama ada ia mitos atau sejarah yang sahih. Sarjana seperti Dr Tatiana A Denisova menerusi Refleksi Historiografi Alam Melayu menyebut bahawa kisah ini ditulis sebagai mengabsahkan kekuasaan raja-raja Melayu, apabila dikatakan bahawa raja-raja ini merupakan keturunan Iskandar Zulkarnain yang merupakan raja yang agung. Selain itu, teks ini juga bertindak sebagai dokumen untuk menggariskan tanggungjawab raja untuk menjadi pemerintah yang adil seperti Iskandar Zulkarnain yang diceritakan dalam al-Quran. Maka oleh sebab seperti inilah, kisah ini wujud dalam Sulalatus Salatin. Jika Uthaya mahu mengambil kisah ini sebagai bukti bahawa raja Melayu merupakan keturunan India, beliau juga perlu mengakui bahawa raja Melayu juga keturunan Macedonia (atau disebut ‘Makaduniah’ dalam teks Sulalatus Salatin), tempat asal Alexander The Great.
Selain itu, Uthaya seolah-olah terlepas pandang (atau sengaja meninggalkan?) sisi-sisi sejarah alam Melayu selain daripada yang berkaitan dengan kisah Raja Suran. Sebagai contoh, dalam Hikayat Raja-raja Pasai, ia menceritakan bahawa seorang raja yang bernama Merah Silu bertemu dengan seekor semut sebesar saiz kucing (semut raya seperti yang disebut Hikayat) dan baginda membunuhnya. Di situlah kemudiannya beliau mendirikan kerajaan Samudra-Pasai yang menjadi kuasa besar di Sumatera. Sejarawan seperti S Q Fatimi mencatatkan bahawa Merah Silu (atau ‘Silau’ menurut transliterasi Prof al-Attas) memeluk Islam dan menggunakan nama al-Malik al-Salih (namun Prof. Syed Naquib al-Attas tidak bersetuju dengan pandangan ini). Di sini, tidak pula disebut bahawa raja-raja ini merupakan keturunan dari India, sedangkan mereka memerintah sebuah kerajaan Melayu. Bahkan, perkataan ‘merah’ dan ‘silau’ merupakan perkataan Melayu jati, bukannya diserap daripada bahasa lain. Hal ini menunjukkan bahawa analisis yang meletakkan raja-raja Melayu sebagai berketurunan India adalah cetek dan bersifat generalisasi keterlaluan.
Seterusnya, Uthaya berhujah bahawa Parameswara yang merupakan putera Srivijaya yang beragama Hindu. Hal ini, menurut beliau, menunjukkan bahawa Parameswara juga keturunan India. Kesimpulan ini adalah salah sama sekali. Perlu diingat, agama Hindu yang dianut oleh Parameswara ketika itu tidak menafikan hakikat bahawa baginda seorang yang berbangsa Melayu. Samalah halnya seperti masyarakat Bali hari ini yang beragama Hindu; ia tidak menjadikan mereka berbangsa India. Satu fakta penting yang mesti diketahui ialah pada zaman kegemilangannya, Srivijaya dikenali sebagai empayar Buddha beraliran Mahayana, bukan Hindu seperti Majapahit di Jawa.
Prof al-Attas menukilkan;
“It is clear that he (Parameswara) was a prince of Malayu and that he was a Malay. This fact is corroborated in Tome Pires’ account where the Parameswara himself acknowledged that he was a Malayu. His father was a king or ruler, the Sang Aji, of Palembang.” (al-Attas, 2011; m/s 43)
Nama Parameswara hanyalah gelaran dan bukan nama sebenar sosok pendiri kerajaan Melayu Melaka itu. Gelaran ini tidak pernah muncul dalam mana-mana sumber Melayu, tetapi hanya terdapat dalam catatan Cina dan Portugis. Raja-raja Melayu purba dari zaman Funan dan Champa juga banyak menggunakan gelaran yang sama (Ahmad Jelani Halimi, 2008; m/s 220). Menurut catatan Tome Pires yang didasari oleh sumber Jawa, putera kepada Sang Aji dari Palembang itu mendapat gelaran Parameswara kerana baginda berkahwin dengan puteri Bhatara Majapahit yang digelar Parameswari.
Seterusnya, Uthaya berhujah bahawa pengaruh India dan Hindu sudah bertapak di Nusantara jauh sebelum kedatangan Islam. Maka, perkara ini menyebabkan tamadun Melayu itu sendiri tertegak berteraskan Tamadun India. Memang diakui bahawa orang Melayu dan etnik lain di Asia Tenggara banyak mengambil pengaruh agama, bahasa, dan kebudayaan dari India, tetapi mereka tidaklah bulat-bulat menyalin atau menerima identiti orang India dan hanya menjadi “pihak penerima” yang pasif. Bahkan, sudah terbukti dalam sejarah, tidak ada satupun monumen agama Buddha atau Hindu di negara India yang setanding dengan kehebatan Candi Borobudur, yang dibina oleh dinasti Melayu Sailendra dan Wat Angkor yang diarahkan pembinaannya oleh Suryavarman II, seorang raja berketurunan Melayu dari Tambralingga, sebuah kerajaan Melayu purba. Pencapaian teknologi yang hebat ini terbentuk daripada keupayaan lokal genius yang tinggi.
Uthaya juga perlu faham bahawa kawasan dunia Melayu tidak hanya terhad pada Semenanjung Tanah Melayu dan Sumatera, tetapi terbentang luas dari Taiwan ke New Zealand (tanah orang Maori), dan dari Madagaskar ke Hawaii dan Pulau Easter. Orang Melayu sudah belayar jauh, dengan meredah lautan yang sungguh luas, dan membina petempatan di kawasan itu pada zaman sebelum kedatangan pengaruh Hindu-Buddha lagi. Kehebatan dalam teknologi maritim dan ilmu astronomi ialah identiti tamadun bangsa Melayu sejak sekian lama dan bukan pengaruh daripada tamadun India.
Persoalan evolusi Bahasa Melayu
Hujah Uthaya yang seterusnya adalah berkenaan perkembangan bahasa Melayu. Menurut beliau, bahasa Melayu terbentuk akibat keperluan kepada sebuah ‘lingua franca’ yang mampu meghubungkan para pedagang dari seluruh pelosok dunia.
Kawasan Kepulauan Melayu memiliki sejarah yang agung berkait perdagangan antarabangsa. Hal ini diketahui sejak zaman-berzaman lagi, malah Tome Pires pernah mencatatkan dalam The Summa Oriental bahawa di pelabuhan Melaka, terdapat terlalu banyak kapal yang berlabuh dan lebih 84 bahasa dituturkan. Pada era yang jauh lebih awal, di tapak pelabuhan kerajaan Funan, telah ditemui serpihan kaca dan syiling emas zaman Maharaja Marcus Aurelius (161-180 Masihi) dan pingat emas zaman Antonius Pius (152 Masihi).
Namun, untuk mengatakan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa ‘pasar’ yang berevolusi akibat desakan masalah komunikasi pedagang adalah satu tuduhan yang salah sama sekali. Bahasa Melayu telah lama wujud, tentulah sebelum kedatangan pengaruh Hindu-Buddha lagi. Kunci utama untuk mengesan sejarah bahasa Melayu, ialah mempelajari tentang keluarga bahasa yang dipanggil Austronesia, yang bermaksud “pulau-pulau di selatan”. Keluarga bahasa Melayu ini, ialah keluarga bahasa yang paling luas tersebar di dunia. Bahasa jati Hawaii, iaitu pulau yang kini di bawah pentadbiran Amerika Syarikat, dan Pulau Easter, yang kini wilayah Chile, memang serumpun dengan bahasa Melayu. Dalam bahasa-bahasa itu, buah kelapa dipanggil niu. Ini memanglah perkataan yang seasal dengan nyiur kerana adanya hubungan genetik, bukan semata-mata kerana kebetulan; dan ia hanya satu daripada banyak contoh lain.
Dakwaan bahawa ‘bahasa pasar’ merupakan asas bahasa Melayu juga merupakan kesimpulan yang salah. Uthaya sendiri tidak pernah membuktikan dalam makalah beliau, pada titik manakah dalam sejarah persuratan Melayu, ‘bahasa pasar’ berubah sepenuhnya menjadi bahasa Melayu yang sofistikated hingga mampu digunakan sebagai bahasa dalam lapangan ilmu, kesusateraan, agama dan pentadbiran? Ketika Champa diserang oleh tentera China pada tahun 605 Masihi, ditemui banyak tablet emas dan teks-teks ajaran Buddha yang tertulis dalam bahasa Cham (iaitu ‘saudara’ bahasa Melayu dalam keluarga yang sama), kesemunya berjumlah 1350 yang diikat dalam 546 berkas (O’Reilly, 2007; m/s 135, Alinor, 2010). Seawal kurun ke-7 Masihi, bahasa rumpun Melayu sudah diberikan kepercayaan untuk mengungkapkan ilmu agama Buddha.
Jika Uthaya meneliti Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 22 Februari 1303 Masihi itu, anda akan menemui penggunaan bahasa Melayu tinggi yang berkualiti. Menurut Prof Zainiy Uthman menerusi buku beliau, Batu Bersurat of Terengganu: Its Correct Date, Religio-Cultural and Scientific Dimensions, bukan sahaja aspek bahasa, malah aspek astronomi, perundangan, sains, serta agama-budaya diadun secara ilmiah dan padu dalam inskripsi Batu Bersurat tersebut. Selain itu, kewujudan khazanah persuratan Melayu yang agung seperti Hikayat Raja Pasai, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Siak, malah kitab keagamaan seperti al-Aqaid al-Nasafi dan karya Hamzah Fansuri, menunjukkan bahawa penggunaan bahasa Melayu sudah pun mencapai tahap bahasa tinggi lama dahulu, dan bukanlah bahasa picisan yang hanya lahir daripada ‘bahasa pasar’ akibat ‘masalah komunikasi pedagang’.
Kata Uthaya lagi, bahasa Melayu ‘tepu’ dengan istilah Sanskrit yang menunjukkan betapa kuatnya pengaruh tamadun India terhadapnya. Tidak dapat dinafikan, bahawa bahasa Sanskrit banyak mempengaruhi evolusi bahasa Melayu kerana pada masa tersebut, Sanskrit merupakan antara bahasa keilmuan serantau yang mengungkap ilmu tinggi. Penyerapan kata daripada bahasa luar merupakan pengalaman biasa untuk semua bahasa. Bahasa Inggeris misalnya, pada hari ini bukan lagi merupakan bahasa Inggeris versi Anglo-Saxon yang asli. Ia mengalami evolusi dengan menyerap elemen-elemen bahasa asing seperti bahasa Perancis selepas penaklukan William of Normandy pada 1066, bahasa Yunani, dan tentunya bahasa Latin. Malah, universiti di United Kingdom asalnya menggunakan Bahasa Latin, bukan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.
Oleh itu, adalah dangkal untuk mengatakan penggunaan perkataan Sanskrit yang meluas dalam bahasa Melayu menunjukkan bahawa ‘Empayar India-Hindu pernah menguasai Sumatera’, seperti yang ditulis oleh Uthaya. Tidak ada empayar ‘Hindu-India’ yang berkuasa di kawasan rantau ini; yang ada hanya empayar Melayu Sriwijaya (“wanua Sriwijaya” atau “Benua Sriwijaya”, tercatat pada batu bersurat Kedukan Bukit, tahun 682 Masihi; benua ialah perkataan Melayu asli, bukan ambilan daripada bahasa asing), yang memahat batu-batu bersuratnya dalam bahasa Melayu tua.
Kesimpulan
Kajian ilmiah mengenai sejarah dan perkembangan tamadun Melayu masih amat sedikit. Kita tidak perlu taksub dengan ‘perjuangan Melayu’ yang dilaung-laungkan oleh golongan yang berkepentingan politik, yang mereka pun entah faham entah tidak apakah makna peradaban Melayu itu sendiri. Namun begitu, tindakan mengabsahkan perkara tersebut melalui fakta yang salah merupakan satu jenayah intelektual yang serius.
Alam Melayu sesungguhnya mengandung sejarah yang sangat lama. Ia memerlukan kesungguhan dan kegigihan pengkaji untuk menggali sedalamnya supaya kita mampu mengenal kembali kegagahan peradaban Melayu yang pernah utuh suatu masa dahulu. Anak muda juga sewajarnya menanam minat yang mendalam terhadap sejarah serta warisan leluhur sendiri supaya khazanah yang maha berharga ini tidak luput ditelan zaman. – 30 Oktober, 2013.
* Hazman Baharom merupakan Naib Presiden, Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Melayu (Malecs), University of Manchester, UK. Juga salah seorang kru Universiti Terbuka Anak Muda.
* Amir Wijaya ialah lepasan ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu (Bahasa Melayu), Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Ahli seumur hidup Akademi Sains Islam Malaysia (Asasi).
October 30, 2013
October 7, 2013
Amarah ini!!!!!
Sakit hati dengar berita pasal gejala rasuah didalam liga malaysia. taraf permaianan sukan bola sepak Malaysia hanya diperingkat rantau ini sahaja. hatta diperingkat asia pun kita masih bertatih. Namun pasal isu rasuah dalam bola sepak kita antara jaguhnya.. Kenapa?
Setiap pemain bola sepak mendapat gaji bulanan(PRO).. maknanya diorang sepak bola tue dapat duit. Majikan mereka adalah persatuan negeri atau kelab masing-masing. Apakah majikan mereka culas dalam menunaikan tanggungjawab sebagai majikan? Ada ke? jika ada nampaknya masalah ini tidak akan selesai. Namun, Jika Majikan mereka melaksanakan tanggungjawab mereka ..tetapi ada yang mengambil rasuah juga...ini adalah sesuatu yg tidak dpt dimaafkan.
Majoriti pemain bola sepak adalah orang melayu islam. Hukum rasuah itu adalah haram disisi agama,mahupun undang-undang Malaysia. Kita berharap gejala ini, tidak seburuk yang diperkatakan, ayuh para pemain semua..jangan gentar jika tidak bersalah..terapkan semangat kesukanan. tiada siapa memaksa kamu bermain bola, jika bermain bola(lakukan rasuah) kamu dipenjarakan lebih baik jangan main bola..banyak kerjaya lain lagi. Peminat atau penonton membayar utk melihat kamu menyepak bola..hargailah mereka..
P/S: Benci Rasuah
Subscribe to:
Posts (Atom)